Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Rabu, 25 Jun 2008

Apakah Suara Wanita Termasuk Aurat?

Menurut pemahaman ana, suara wanita bukanlah aurat, selama tidak disuarakan dengan cara yang melanggar syara’, misalnya dengan suara manja, merayu, mendesah, dan semisalnya. Maka dari itu, akhwat boleh bernyanyi dalam sebuah masirah, dengan syarat tidak disertai perbuatan haram dan maksiat, seperti ikhtilath (campur baur di antara lelaki & wanita), membuka aurat, dan sebagainya.

Dalil bahawa suara wanita bukanlah aurat, adalah Al-Qur`an dan As-Sunnah. Dalil dari Al-Qur`an terdapat dalam dalil-dalil umum yang bersifat wajib, sunah/mandub atau mubah dalam berbagai aktiviti, yang bererti mencakup pula bolehnya wanita melakukan aktiviti-aktiviti itu. Wanita berhak dan berwenang melakukan aktiviti jual beli (QS 2: 275; QS 4:29), berhutang piutang (QS 2:282), sewa menyewa (ijarah) (QS 2:233; QS 65:6), memberikan persaksian (QS 2:282), menggadaikan barang (rahn) (QS 2:283), menyampaikan ceramah (QS 16:125; QS 41:33), meminta fatwa (QS 16:43), dan sebagainya. Jika aktiviti-aktiviti ini dibolehkan bagi wanita, ertinya suara wanita bukanlah aurat sebab semua aktiviti itu adalah aktiviti yang berupa perkataan-perkataan (tasharrufat qauliyah). Jika suara wanita aurat, tentu syara’ akan mengharamkan wanita melakukannya (Muhammad Syuwaiki, Al-Khalash wa Ikhtilaf An-Nas, hal. 106).

Adapun dalil As-Sunnah, antara lain bahawa Rasulullah SAW mengizinkan dua hamba wanita bernyanyi di rumahnya (Shahih Bukhari, hadits no. 949 & 952; Shahih Muslim, hadits no. 892). Pernah pula Rasulullah SAW mendengar nyanyian seorang wanita yang bernazar untuk memukul rebana dan bernyanyi di hadapan Rasulullah (HR. Tirmidzi, dinilainya sahih. Imam Asy-Syaukani, Nailul Authar, VII/119). Dalil As-Sunnah ini menunjukkan suara wanita bukanlah aurat, sebab jika aurat tentu tidak akan dibiarkan oleh Rasulullah (Abdurrahman Al-Baghdadi, Seni Dalam Pandangan Islam, hal. 69-70).

Namun demikian, syara’ mengharamkan wanita bersuara manja, merayu, mendesah, dan semisalnya, yang dapat menimbulkan hasrat yang tidak-tidak dari kaum lelaki, misalnya keinginan berbuat zina, berselingkuh, berbuat serong, dan sebagainya. Firman Allah SWT (artinya) : “…maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (QS Al-Ahzab [33] : 32).

Suara wanita yang seperti itulah yang diharamkan, bukan suara wanitanya itu sendiri. Jadi, suara wanita itu bukanlah aurat yang tidak boleh diperdengarkan.

Maka dari itu, boleh hukumnya wanita bernyanyi dalam acara masirah tersebut, sebab suara wanita bukanlah aurat. Namun dengan 2 (dua) syarat. Pertama, suara itu dalam batas kewajaran, bukan sengaja dibuat-buat seperti mendesah-desah, mendayu-dayu, merayu, dan semisalnya. Kedua, perbuatan itu tidak disertai perbuatan-perbuatan haram dan maksiat, seperti ikhtilath, membuka aurat, dan sebagainya.


Wallahu a’lam

Read More..

Majlis Pernilkahan dalam Perspektif Islam

Dalam era serba moden masa kini, sangat sulit untuk menemukan pra pernikahan yang serba sederhana dan tidak dijamu dengan pelbagai adat istiadat yang sememangnya tidak dituntut oleh syariat, bahkan praktik tersebut tidak pernah ditemukan pada zaman nabi. Acara-acara ini termasuklah tentang etika cara berbusana ketika majlis perkahwinan, undangan para penyanyi atau lebih dahsyat di dalam majlis tersebut mengadakan nyanyian dan joget yang sangat tidak islami, sepertimana yang dilakukan oleh jiran saya sebelum ini. Adat resam jawa, adat pepatih dan beberapa adapt lain lagi yang tidak dapat saya senaraikan di sini adalah antara adat-adat yang wujud di dalam masyarakat.

Persoalan yang ingin saya kupaskan di dalam tulisan kali ini ialah, apakah hukum pelaksanaan adat-adat tersebut dari sudut perspektif islam. Dan bagaimana islam menanggapinya, kerana ia menyangkut perkara yang dilakukan dalam menuntut keredaan ilahi iaitu pernikahan, tapi dalam waktu yang sama, adat-adat tadi telah merencatkan pelaksanaan pernikahan tersebut. Sama ada ia diterima oleh syariat, ataukah ianya tertolak yang justru akan membawa para pelakunya ke lembah maksiat. Naudzubillah min dzalik.

Saya memanjatkan doa kepada ilahi, semoga tulisan saya kali ini selalu disertai oleh hidayah dan petunjukNya, dan dihindari dari segala fitnah yang akan memecahbelahkan persaudaraan islami. Semoga dengan tulisan saya kali ini juga, akan dapat memberi sedikit pengetahuan kepada sang kekasih di luar sana yang inginkan ibadah yang bakal dilangsungkan kelak selari dengan kehendak syariat.

Ajaran Islam kadang-kadang sesuai dengan budaya/adat setempat, tetapi kadang-kadang juga tidak sesuai. Permasalahan yang ketara tidak sesuai dengan landasan syariat adalah etika berbusana yang majoritinya tidak menepati ciri-ciri busana muslim. Walaupun terkadang busana tersebut masih diselitkan sedikit ciri-ciri islam seperti adanya khimar yang dipakaikan kepada muslimah, atau songkok bagi kaum lelaki. Persoalannya, adakah islam hanya mementingkan satu sisi dan mengabaikan sisi lain? Atau bagaimana? Ikhwan sang pembaca, anda sudah pasti boleh menebak (meneka), jawapan kepada soalan saya tadi. Namun, sejauh manakah kita memahami persoalan ini dari sudut permasalahan hukum dan kaidah yang tepat dalam menanggapi uruf yang sudah mendarah daging di dalam masyarakat ini.

Bagaimana Sikap Kita?

Dalam permasalahan ini, kaum muslimin terbahagi kepada dua golongan dalam menanggapinya:

A. Islam Disesuaikan dengan adat

Jika ada beberapa aturan Islam yang berbeza dengan adat, maka mereka memakai adat itu.

Mereka yang sepakat dalam hal ini menggunakan kaedah :

اَلْعَادَةُ مُحْكَمَةٌ

“Adat-istiadat dapat dijadikan sumber hukum”

Akibatnya, banyak syariat Islam dilanggar kerana kaedah tersebut. Misalnya : Jilbab boleh dilepas jika masyarakat setempat terbiasa dengan pakaian bukan jilbab. Riba diperbolehkan jika budaya setempat sudah terbiasa dengan riba. Dan masih banyak lagi.

Jika kaedah tersebut dipakai, maka rosaklah ajaran Islam ini. Kita tahu bahawa adat dalam pelbagai suku/bangsa berbeza-beza. Sering kali ia saling bertentangan. Maka, jika Islam disesuaikan dengan adat, akan terjadi kerancuan tentang hukum islam dalam segenap aspek dalam menilai kebenaran. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia menganggap bahawa jika bertemu dengan orang lain lawan jenis, cukup menyapa dengan menganggukkan kepala. Sementara masyarakat Barat jika lelaki dan wanita bertemu akan lebih sopan jika berciuman. Padahal, di Malaysia berciuman dengan lawan jenis adalah perbuatan yang sangat tidak sopan. Contoh lain, ada adat suatu suku tertentu mengurus warganya yang meninggal dengan membakar mayatnya, adat lain pula adalah dengan memumiyakan mayat tersebut seperti yang dilakukan oleh masyarakat mesir kuno kepada firaun, sementara suku yang lain ada yang meletakkan mayat di bawah pohon. Lantas, adat manakah yang akan kita pakai? Bingung kan?

B. Adat Disesuaikan dengan Islam

Pandangan kedua ini menyatakan bahawa jika ada adat yang tidak sesuai dengan Islam, maka adat tersebut harus disesuaikan dengan Islam. Jika memang tidak boleh disesuaikan, maka adat tersebut wajib ditinggalkan.

Hal ini sesuai dengan apa yang dilakukan Rasulullah saw. Pada era Makkah jahiliyah, mempunyai anak wanita adalah aib. Seorang ayah merasa malu jika isterinya melahirkan bayi wanita. Maka banyak terjadi peristiwa pembunuhan bayi wanita pada masa itu. Bahkan Umar bin Khattab pun sebelum masuk Islam pernah membunuh anak gadisnya dengan menguburnya hidup-hidup.

Ketika Islam datang, bagaimana sikap Rasul? Islam menyatakan bahawa lelaki dan wanita adalah sama-sama manusia hamba Allah. Kedudukannya sama di hadapan Allah. Yang membezakan adalah ketaqwaannya. Oleh kerana itu, lelaki dan wanita sama-sama berhak hidup. Lelaki tidak lebih mulia daripada wanita, begitu pula sebaliknya. Oleh kerana itu, ketika Islam datang, adat (kebiasaan) membunuh bayi wanita pun segera ditinggalkan.

Ada juga kebiasaan masyarakat Arab waktu itu, iaitu minum khamr. Para sahabat Nabi pun termasuk orang-orang yang suka minum khamr. Ketika turun ayat yang melarang minum khamr, maka serta-merta kaum muslimin meninggalkan khamr. Mereka segera membuang seluruh khamr yang mereka miliki, sampai-sampai Kota Madinah basah oleh khamr.

Masih banyak adat/kebiasaan masyarakat Arab waktu itu yang bertentangan dengan Islam. Rasulullah mendakwahi mereka sehingga akhirnya adat itu mereka tinggalkan dan diganti dengan ajaran baru iaitu Islam. Sementara itu, adat yang tidak bertentangan dengan Islam tetap dibiarkan ada di tengah-tengah masyarakat.

Jadi, sikap menyesuaikan adat dengan Islam adalah tepat. Sementara sikap menyesuaikan Islam dengan adat adalah salah.

Busana Pengantin Wanita

Sebagai seorang muslim, kita terikat dengan hukum-hukum Islam, kapan pun dan dimana pun. Termasuk saat pesta pernikahan. Tidak ada pengecualian.

Islam mengajarkan bahawa busana wanita muslimah di tempat umum harus memenuhi tujuh kriteria berikut :

1. Menutup aurat;

2. Jenis dan model sesuai ketentuan syariat (memakai jilbab, khumur, mihnah, dan memenuhi kriteria irkha’)

3. Tidak tembus pandang (transparan)

4. Tidak menunjukkan bentuk dan lekuk tubuhnya

5. Tidak tabarruj

6. Tidak menyerupai pakaian laki-laki

7. Tidak tasyabbuh terhadap orang kafir

Oleh kerana itu, pada saat akhwat “sang pembaca” menikah pun wajib tetap terikat dengan syariat ini. Mudah kan?

Busana yang ada di dalam pasaran kini, tidak banyak yang memenuhi kriteria yang telah disepakati di atas. Dan salah satu yang bercanggah dengan syariat adalah membuat penyambungan rambut. Ia haram, berdasarkan hadis-hadis nabi yang menyebutkan keharamannya secara tsubut dilalahnya.

Melanggar Perintah Orang Tua, Bolehkah?

Benar, busana yang bakal dipakai oleh pra pasutri (pasangan suami isteri) adalah bukan dari kehendak mereka sepenuhnya, tetapi dicampuri oleh kehendak orang tua yang selalunya mengikut adat dan tradisi keluarga dan kaum kerabat. Lalu bagaimana mengahadapinya? Padahal taat kepada orang tua adalah suatu kewajipan. Manakala untuk taat kepada aturan islam juga adalah satu kewajipan. Bingung juga kan?

Tidak perlu bingung, jika kita memahami konsep islam dengan murni. Memang benar, seorang anak wajib mentaati perintah orang tua. Akan tetapi, kewajiban taat kepada orang tua adalah selama tidak bertentangan dengan perintah Allah. Pada hakikatnya, anak mentaati perintah orang tua adalah kerana perintah Allah. Bukan sebaliknya, iaitu mentaati Allah kerana perintah orang tua.

Allah swt berfirman:

“Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami.”[Q.S. Al Kahfi ayat 28]

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah. [Q.S. Al Qalam ayat 8]

Rasulullah bersabda :

“Tidak ada ketaatan dalam hal maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah pada perkara yang ma’ruf (sesuai dengan syariat).” (HR. Muslim)

Hadits At Tabrani dari Ubadah, yang menyatakan bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Akan ada setelah masaku, orang-orang (yang akan memimpin) urusan kalian, dimana mereka mengakui perbuatan munkar kalian dan menolak kema’rufan kalian. Maka, tidak ada ketaatan sedikit pun kepada siapa saja yang berbuat maksiat.”

Dengan demikian, anda boleh melanggar perintah orang tua jika perintahnya bertentangan dengan perintah Allah. Anda tidak berdosa. Kewajiban anda adalah memberitahu (mendakwahi) orang tua tentang syariat Islam yang belum mereka fahami. Tentu harus dilakukan dengan cara-cara yang ma’ruf sehingga seboleh mungkin tidak melukai hati/perasaan orang tua.

Dakwah Keluarga, Mengapa Ditunda-tunda?

Sebenarnya timbul pertanyaan dalam benak saya. Mengapa anda tidak seawalnya mendakwahi keluarga anda? Mengapa anda justru “ribut” dengan orang tua ketika hari pelaksanaan pesta pernikahan sudah semakin dekat? Ini menjadi pelajaran bagi kita semua. Mendakwahi keluarga sebaiknya sesegera mungkin. Tidak perlu menunggu “bom waktu” yang pada akhirnya akan menyulitkan kita di kemudian hari.

Biasanya orang tua khawatir jika pesta pernikahan anaknya berbeza dengan adat, maka akan mendapatkan ejekan dan gunjingan dari masyarakat sekitar. Walaupun orang tua sudah tahu aturan Islam, kekhawatiran terhadap respon masyarakat sekitar masih sering terjadi.

Di sini sebenarnya hanya faktor kebiasaan. Hal yang baru biasanya memerlukan pengorbanan. Maksudnya, harus ada seseorang yang memulai. Ketika hal yang baru itu sudah ada yang berani memulai, maka akan ada “pengikut-pengikut” berikutnya. Contohnya, artis wanita yang bersuara lunak iaitu waheeda senantiasa berbusana muslimah ketika menyanyi, dia mengawali, lalu ada artis-artis lain yang mengikutinya walau tidak banyak. Namun sayang, nyanyian wanita di khalayak ramai bukanlah suatu yang mendatangkan kebaikan, malah mendatangkan keburukan dan fitnah. Mampukah anda mengawali suatu kebaikan?

Pengalaman berharga untukmu...

Pernah suatu ketika, seorang teman saya akan menikah. Sebagai aktivis dakwah tentu ia sedar bahawa pesta pernikahan yang selama ini biasa dilakukan di masyarakat sekitarnya adalah tidak Islami, salah satu unsurnya adalah adanya ikhtilat. Ia menjelaskan kepada orang tuanya (khususnya ayahnya sebagai ketua keluarga) tentang haramnya ikhtilat. Pada awalnya memang ditentang. Tetapi dengan sabar teman saya menjelaskannya. Segala cara dicoba untuk menjelaskan hal ini. Akhirnya hati ayahnya pun terbuka. Ayahnya bersedia menyelenggarakan pesta pernikahan yang Islami. Masalah belum selesai. Pada saat pertemuan dengan warga kampung, ada yang protes dengan mengatakan “ini kan tidak umum”. Alhamdulillah, ayahnya tetap teguh pendirian. Akhirnya, ketika pesta pernikahan digelar pun tidak terjadi masalah. Bahkan setelah hari itu, banyak yang menyelenggarakan pesta pernikahan dengan memisahkan tamu lelaki dengan tamu wanita.

Apakah anda berani memulai?

“Orang biasa menempuh jalan biasa.”

“Orang luar biasa menempuh jalan yang tidak biasa.”

Read More..

Rabu, 18 Jun 2008

Bolehkah Non-Muslim Menjadi Wakil Rakyat Bagi PPI?

Soalan:

Apakah hukum bagi non-muslim menganggotai sekali gus menjadi wakil rakyat bagi sesebuah parti politik yang berideologi islam? Adakah dibenarkan oleh syara' atau sebaliknya?


Jawapan:

Keberadaan ahli non-muslim di dalam ppi (parti politik islam) pada dasarnya adalah salah satu bentuk dari kesalahan, bahkan menyalahi syara'. Pada dasarnya, larangan untuk bermuwalah (berkawan rapat dan bersepakat) dengan orang-orang kafir mencakup juga larangan untuk mencalonkan mereka untuk menduduki jabatan-jabatan yang boleh digunakan oleh kaum kafir untuk menguasai kaum muslimin. Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitab Majmu’ al-Fatawa menyatakan bahawa sesiapa saja yang bermuwalah dengan orang-orang kafir, maka ia telah murtad (keluar dari Islam). Allah SWT berfirman:

“Siapa saja di antara kalian mengambil mereka (orang-orang kafir) sebagai wali, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (Qs. al-Mâ’idah [5]: 51).

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kalian mengadakan alasan yang nyata bagi Allah untuk menyeksa kalian?” (Qs. an-Nisâ’ [4]: 144).

"Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). mereka tidak akan henti-hentinya berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya". (Qs. Ali-‘Imran [3]: 118).

Sa’id Hawwa dan Sayyid Quthub dalam al-Wala’ menyatakan bahawa, seorang muslim yang memberikan wala’nya kepada misionaris dunia kufur, atheis dan murtad, dengan seluruh sifat-sifat kemanusiaannya, juga tidak dipandang sebagai seorang muslim. [Sayyid Hawwa & Sayyid Quthub, al-Wala’; Loyaliti (ketaatan) Tunggal Seorang Muslim, edisi endonesia; m/s.7, 2001]

Ketika menjelaskan tentang wala' yang diharamkan, Sa'id Hawwa menjelaskan bahawasanya salah satu tanda wala' yang diharamkan di dalam islam ialah; memberikan bantuan, ketaatan, dan keterikatan penuh (seumur hidup) dengan orang-orang kafir. Hal ini didasarkan pada firman Allah SWT, “Apakah kamu tiada memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab, ”Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama kamu; dan kami. selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapa pun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi, pasti kami akan membantumu.” (Qs. al-Hasyr[59]: 11). Termasuk ke dalam wala’ jenis ini ialah perbuatan para politikus yang menyokong, mengangkat, dan membela orang-orang kafir, musyrik, dan munafik, baik sebagai individu, kelompok, atau sebagai parti/jemaah. Juga termasuk dalam kategori ini ialah perbuatan orang-orang yang menjadi anggota, simpatisan, setuju, atau menyokong satu parti, organisasi atau lembaga sesat yang tegak di atas landasan selain islam. [ibid, hal.35-36]

Adapun hujah bagi mereka yang membolehkan bagi non-muslim untuk menyertai ppi dengan merujuk tindakan Rasulullah saw yang memasukkan orang kafir dalam piagam Madinah, di mana status orang kafir (dzimmi) tersebut adalah sebagai wakil untuk menyatakan aspirasi non-muslim yang berada di Madinah. Lalu, mereka membuat kesimpulan bahawasanya boleh bagi sebuah parti politik islam untuk mencalonkan orang kafir sebagai wakil rakyat pada pilihan raya. Jawapan bagi argumentasi tersebut adalah sebagai berikut:

Pertama, konteks Rasulullah saw ketika menetapkan piagam Madinah adalah sebagai ketua negara, bukan sebagai pemimpin sebuah parti politik, atau gerakan. Walhasil, tidak benar jika kita menganalogkan sebuah hukum, yang faktanya berbeza. Fakta pemimpin negara berbeza dengan pemimpin sebuah parti politik. Apakah kita akan menyatakan bahawa seorang pemimpin parti politik boleh merejam pelaku zina, hanya kerana berpedoman kepada perbuatan Rasulullah Saw yang pernah menjatuhkan sanksi rejam kepada seorang penzina muhshon. Tentunya, kita tidak boleh menjatuhkan sanksi kepada pezina muhson tersebut. Sebab, konteks Rasulullah Saw ketika menjatuhkan sanksi harus dilihat bahawa beliau sebagai seorang ketua negara, bukan sebuah pemimpin gerakan. Walhasil, piagam Madinah tidak boleh dijadikan sebagai dalil untuk membolehkan sebuah parti mencalonkan orang kafir sebagai wakil rakyat. Sebab, konteks yang ditunjuk oleh peristiwa itu (piagam Madinah) adalah negara, bukan parti. Jadi, bila piagam Madinah —konteksnya adalah negara— diqiyaskan dengan parti, maka ini tidak dibenarkan secara ushul, sebab konteks perbincangannya berbeza.

Kedua, argumentasi jika penduduk muslimnya sedikit, maka seorang kafir boleh dicalonkan sebagai wakil rakyat, sedangkan jika penduduk muslimnya banyak, kaum kafir tidak boleh dijadikan sebagai wakil rakyat, adalah argumentasi yang tidak didukung sama sekali oleh dalil, bahkan tidak memiliki dalil sama sekali. Sebab, keharaman memberikan wala’ kepada kaum kafir tidak didasarkan pada sedikit atau banyaknya jumlah kaum muslimin. Buktinya, ketika jumlah kaum muslim di Quraisy masih sangat sedikit, rasulullah saw menolak tawaran kekuasaan dari orang-orang Quraisy.

Ketiga, untuk menetapkan status hukum boleh atau tidaknya seorang muslim menjadikan orang kafir sebagai wakil rakyat, juga tidak boleh dikaitkan dengan, ”Apakah mereka mendatangi, dan meminta dicalonkan sendiri, atau tidak.” Atau, “Mereka hanya menjadi wakil rakyat ADUN atau tidak.” Sebab, pertimbangan seperti ini bukanlah dalil syara’. Jika kaum kafir dilarang menjadi penguasa, atau wakil rakyat, maka walaupun mereka meminta sendiri hukumnya tetap haram, tidak berubah.

Secara teknikalnya, ketika parti Islam telah menempatkan kaum kafir sebagai wakil rakyat, bererti bukan individu kafir itu yang mencalonkan dirinya sebagai wakil rakyat, akan tetapi parti itu sendiri. Walaupun proses awalnya, orang kafir itu yang memohon sendiri. Ketika seseorang telah menjadi wakil rakyat Parti Islam X, maknanya, orang tersebut telah dipilih dan dicalonkan oleh Parti Islam X untuk menjadi anggota legislatif, bukan orang itu mencalonkan dirinya sendiri untuk menjadi wakil rakyat. Sebab, orang itu tidak boleh disebut wakil rakyat Parti Islam X jika tidak dicalonkan oleh Parti Islam X sendiri.

Keempat, benar dalam pandangan Islam, seorang kafir boleh menjadi anggota majlis ummat. Akan tetapi, mereka hanya memiliki hak untuk melaporkan keburukan-keburukan pelaksanaan syariat Islam, serta kezaliman dan penyimpangan yang dilakukan oleh penguasa Islam. Sedangkan untuk memberikan aspirasi dalam hal membuat hukum, dan aturan mereka sama sekali tidak boleh dilibatkan. Namun demikian, majlis umat adalah representasi dari badan sebuah negara, bukan badan sebuah parti atau gerakan. Parti politik Islam ditubuhkan untuk memperjuangkan hukum-hukum Islam, dan mengubah masyarakat sejajar dengan ‘aqidah Islam. Oleh kerana itu, anggota parti politik harus memiliki ‘aqidah Islam, alias muslim. Dengan kata lain, parti politik Islam tidak boleh beranggotakan orang-orang kafir. Sebab, bagaimana mereka boleh mengubah sistem yang tidak Islami menjadi sistem yang Islami, sementara itu mereka tidak memiliki ‘aqidah Islam?

Tatkala, sebuah parti Islam mengangkat orang kafir menjadi wakil rakyat (calon legislatif), sama ertinya parti tersebut telah mengangkat orang kafir menjadi anggota gerakannya. Padahal, keanggotaan orang kafir dalam sebuah gerakan adalah tindakan bid’ah yang menyimpang dari tuntunan agama yang lurus.

Wallahua'lam

Read More..