Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Khamis, 7 Ogos 2008

Pinjaman PTPTN Dalam Kacamata Islam

Fatwa Halal Caj Perkhidmatan PTPN – Dari Kapitalis, Oleh Kapitalis, Untuk Kapitalis

Soalan : Baru-baru Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan bahawa Caj Perkhidmatan 3.5% berasaskan jumlah pinjaman yang dikenakan kepada pemimjam PTPTN adalah berlandaskan Syarak, namun kami pihak pelajar masih lagi ragu-ragu kerana ada beberapa pihak menerangkan bahawa apa sahaja tambahan jika berasaskan peratusan dari jumlah pinjaman pokok ianya adalah Riba, minta pihak HTM mengeluarkan Sautun Nahdah berkenaan isu ini.

Jawapan:

Caj Perkhidmatan PTPTN Tidak Menyalahi Hukum Syarak, itulah tajuk yang terpampang dalam laman web JAKIM berkenaan dengan kontroversi caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas bayaran balik pinjaman PTPN. "Muzakarah Khas tersebut diadakan khusus untuk membincangkan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas pembiayaan pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi. JKF telah memutuskan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN ke atas pelajar tidak menyalahi hukum syarak. Caj perkhidmatan ini ialah sebagai upah kepada pihak PTPTN yang telah menguruskan pembiayaan pelajaran kepada pelajar-pelajar. Muzakarah Khas tersebut juga dihadiri oleh Y. Bhg. Tan Sri Dato' Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara yang menyampaikan taklimat khas mengenai kajian jabatan audit terhadap Pengurusan Zakat Oleh Majlis Agama Islam di seluruh negeri.Muzakarah Khas yang telah berlangsung selama tiga (3) jam ini telah dihadiri oleh S.S. Mufti Negeri-negeri, Ahli-ahli Dilantik dan turut dihadiri oleh Pegawai-pegawai Kanan JAKIM dan Pegawai-pegawai Jabatan Audit Negara serta wakil daripada PTPTN. "Sumber Laman Web JAKIM

Hal ini juga dinyatakan dalam Utusan Malaysia (29.07.2008) dalam ruangan bertajuk Caj PTPTN tidak langgar syarak. Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini. Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah empat peratus pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada tiga peratus.''Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN).''Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini. Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk peminjam menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap PTPTN kerana mengenakan caj tiga peratus daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar semula selepas pelajar menamatkan pengajian. Berikutan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan diminta menyemak caj tiga peratus itu bagi mengelak wujudnya unsur riba seperti didakwa oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).Setakat ini terdapat hampir 1.14 juta peminjam PTPTN dengan nilai pinjaman mencecah RM23 bilion. Bagaimanapun, sebanyak 49 peratus daripada mereka masih gagal membayar balik pinjaman yang berjumlah hampir RM708 juta. Abdul Shukor berkata, perubahan caj perkhidmatan baru yang dikenakan nanti akan ditentukan oleh PTPTN melalui Kementerian Pengajian Tinggi setelah dibuat perkiraan semula.

Perbincangan caj perkhidmatan ini mengundang kontroversi yang mana ada pihak yang mengatakan bahawa pinjaman ini adalah riba dan ada yang pihak yang menafikan. Semoga tulisan ini dapat menjernihkan pemahaman kita tentang riba, dan juga kepada pihak yang sering mengangguk kepala sahaja kepada pihak pemerintah.

Kontroversi Pengumuman Awal Fatwa dan Pendapat Ahli Jawatankuasa

Mengikut laporan Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) selaku Mufti Perlis dan ahli jawatankuasa menyatakan bahawa bersepakat dalam mesyuarat sebelum ini di Alor Setar pada 6-7 Mei 2008 memang pihak PTPTN juga akur bahawa caj yang dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman dan Jawatankuasa sepakat menganggapnya riba. Cumanya, Pengerusi (yang juga Naib Canselor USIM) agak keberatan mengumumkan keputusan tersebut, sebaliknya hanya menyatakan kepada media bahawa pihak PTPTN dikehendaki mematuhi garis panduan.

Sekarang telah ada MFK telah memberikan fatwa baru tentang PTPTN, iaitu secara umumnya menganggap bahawa caj 3% itu adalah upah untuk kendalian operasi dan juga untuk tidak membebankan penghutang dan pemiutang. Persoalan yang kita perlu tanyakan ialah bagaimana pendapat Jawatankuasa sebelum ini yang sepakat mengatakan riba untuk caj yang dikenakan berasaskan jumlah pinjaman. Tidakkah ini termasuk dalam helah untuk melakukan riba tetapi dinamakan upah dan sebagainya?

Riba Nasiah Dalam Caj PTPTN

Apa yang dilakukan dengan caj 3 % sebagai kos perkhidmatan adalah riba Nasiah, Meskipun beberapa pihak PTPTN sedang berhempas-pulas untuk mencampuradukkan akad ini supaya kita melihatnya dalam kaca mata Islam, atau mengislamisasikan akadnya dengan ditempelkan akad yang tidak ada kaitan dengannya seperti Bai, Ijarah dan Qardhul Hasan. Penempelan semacam ini sebenarnya bukannya apa, iaitu untuk memastikan bahawa Pinjaman dalam Islam ini dapat diperdagangkan seperti dalam sistem kapitalisme. Kos meminjam wang dalam sistem kapitalis adalah kadar bunga, sedangkan dalam Islam kos ini adalah sifar, dan sesiapa yang mengambil kos untuk meminjamkan wang maka seksaan neraka jawapannya.

Pinjaman adalah bererti pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu barang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkan selalu dinamakan ariah (barang) atau qard (mata wang), pembayarannya adalah dalam kuantiti yang sama, meskipun mungkin kualitinya lebih baik. Asas utama dalam pemberian ini adalah dalam keadaan untuk ta'wun sesama Muslim tanpa tujuan lain. Pinjaman ini bukannya boleh dijadikan asas untuk mendapat keuntungan perniagaan. Dalam sistem ekonomi kapitalis sahaja yang menjadikan riba adalah alat untuk mendapat kekayaan dan menjanakan kekayaan melalui sistem perbankan, dalam komunis riba diharamkan dan Islam mengharamkan aktiviti ini secara mutlak, dan juga pintu-pintu untuk tujuan ini.

Haramnya Mengambil Lebihan Bayaran Dari Hutang

Islam melarang pembayaran hutang yang melebihi kuantiti asalnya, iaitu sekiranya kita berhutang dengan RM10,000 maka kita wajib membayarnya dengan RM10,000, haram berlaku penambahan hatta 1 sen pun kerana ianya dianggap riba Nasiah. Keharaman ini dapat dilihat dari hadis dan Atsar.

Diriwayatkan dari Anas, bahwa dia ditanya tentang seorang laki-laki di antara kita yang meminjamkan harta kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberi hadiah kepadanya.

Dia berkata: Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam. bersabda: "Jika salah seorang dari kalian memberi pinjaman, lalu (orang yang diberi pinjaman) memberi hadiah kepadanya atau menumpangkannya ke atas kenderaan, maka janganlah dia mengenderainya dan janganlah dia menerimanya. Kecuali, jika itu biasa terjadi antara dia (pemberi hutang) dan dia (yang diberi hutang) sebelumnya." [Riwayat Ibnu Majah]

Diriwayatkan dari Anas dari Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam., beliau bersabda: "Jika seseorang memberi pinjaman, maka janganlah dia mengambil hadiah." [Riwayat Bukhari dalam Kitab Tarikhnya]. Imam Syaukani juga menambah Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya dari Abu Burdah bin Abu Musa, dia berkata: Aku mendatangi Madinah dan menemui, Abdullah bin Salam. Dia berkata kepadaku: "Sesungguhnya kamu berada di tanah yang riba di dalamnya tersebar. Jika kamu memiliki hak atas seseorang, lalu dia menghadiahkan kepada mu seikat jerami, atau seuncang gandum, atau segenggam makanan ruji, maka janganlah kamu mengambilnya, kerana, itu adalah riba." [Nailul Awthar V/258]. Dalam Al-Ma'rifah, Baihaqi mengeluarkan dari Fadhalah bin Ubaid: "Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah salah satu bentuk riba." [HR Imam Baihaqi] Harits bin Abu Usamah meriwayatkannya dari hadis Ali ra. dengan lafaz: "Sesungguhnya Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam. melarang pinjaman yang menarik manfaat." Dalam riwayat lain: "Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah riba." Juga, berdasarkan ijmak yang telah terjadi bahawa setiap pinjaman yang di dalamnya disyaratkan tambahan adalah haram. Ibnu Mundzir berkata: "Mereka berijmak bahawa jika pemberi pinjaman mensyaratkan tambahan atau hadiah atas peminjam, lalu dia memberi pinjaman berdasarkan itu, jika dia mengambil tambahan tersebut berdasarkan itu, maka itu adalah riba." Diriwayatkan dari Ubay bin Ka'b, Ibnu Abbas dan Ibnu Mas'ud, bahawa mereka melarang pinjaman yang menarik manfaat. Dari hadis dan atsar ini menjadi jelas bahawa pinjaman yang menarik manfaat, jika tambahan di dalamnya adalah syarat, maka tidak diperselisihkan bahawa itu haram. [Syakshiah II/342] Sekiranya terdapat bayaran lebihan, ulama bersepakat menyatakannya sebagai Riba an-Nasiah yang disepakati haramnya. [Al-Jami' fi Usul al-Riba, ms 17]

Larangan di atas ditujukan kepada pemberi pinjam dari mengambil hadiah atau bentuk manfaat keuntungan dari pinjaman, dan menisbahkan kepada amalan riba. Namun yang menjadi kepelikan kepada kita ialah tindakan pihak PTPTN untuk mendapatkan 3% lebihan bayaran untuk kocek mereka beralasan untuk Caj perkhidmatan.

Caj PTPTN - Helah Untuk Muamalah Riba

Seperti yang diterangkan di atas bahawa dalam sistem kapitalis, pinjaman merupakan alat perniagaan itulah pandangan hidup kapitalis yang jelas tentang permasalahan ini. Namun bila ada pihak cuba untuk menghalalkan perniagaan ini dengan nama Islam, iaitu mereka terpaksa mereka-reka dan mencipta helah untuk mengambil keuntungan (atau membuat perniagaan dengan hutang), maka terkial-kial mencipta perkara baru dan fatwa baru supaya sistem kapitalis tetap berjalan tetapi dengan disaluti dengan Fatwa Islam. Sedangkan Islam mengharamkan helah, berasaskan dalil umum, tambahan ada muwatha' kesepakatan untuk melakukan aqad yang ditegah ini. Perlu diperjelaskan bahawa Helah Riba ini diharamkan kerana sebenarnya mereka bersepakat untuk mengambil lebihan dari pinjaman (riba) dan dengan cara yang tidak nampak, berasaskan kaedah syarak, al-wasilatu ila haram, haram (jalan membawa kepada benda yang haram adalah haram). Sebagaimana hadis dari Ubadah bin Shamit, berkata Rasulullah saw, "Sesungguhnya sebahagian dari Umatku menghalalkan arak dengan cara menamakannya dengan namanya tersendiri" [HR Ahmad] dan dalam riwayat lain "menamakannya dengan nama lain" [Nizhamul Iqtisad, ms 261]. Penjenamaan Caj Perkhidmatan dan lain-lain nama adalah salah satu cara untuk menjenamakan semula Riba Nasiah yang diharamkan oleh Syarak.

Kesimpulannya

Permasalahan PTPTN ini adalah satu dari masalah yang muncul apabila manusia menjadikan ideologi kapitalis sebagai hukum-hakam kehidupan. Ini kerana dalam sistem kapitalisme yang memandang bahawa semua perkara boleh diperdagangkan dengan wang ringgit termasuk harga diri. Dalam Aspek pendidikan ini kita boleh melihat

1) Pendidikan telah menjadi perniagaan dalam Sistem Kapitalisme, jadi kos pendidikan menjadi tanggung jawab individu dan ibu bapa. Ini menyebabkan pelajar terpaksa meminjam wang untuk membiayai pendidikan mereka. Walhal pendidikan sepatutnya menjadi tanggung jawab negara.

2) Wujudnya pemikiran untuk mengaut keuntungan dari pihak tertentu yang menubuhkan PTPTN, yang mana berhasrat mengambil riba dalam perspektif kapitalis kemudian dinamakan dengan Caj Perkhidmatan supaya menjadi halal mengikut perspektif Islam (Helah Riba).

3) Pemberian fatwa yang agak mengelirukan dan bercanggah dalam kenyataannya di antara satu sama lain, dan tidak ada kejelasan dari segi akadnya, hanya menjadikan Islam sebagai alat menempel, bukan satu sistem yang berlainan dengan sistem yang ada.

Isu Caj ini adalah simptom dari sistem kapitalis dan pemikiran kapitalis, yang dianuti oleh masyarakat, ulama dan cendekiawan itu sendiri, itu masalah sebenarnya. Insya Allah isu PTPTN ini tidak muncul kerana pembiayaan pendidikan adalah tanggung jawab negara, dan pinjaman ribawi pastinya diharamkan, dalam sistem Islam sebenar, iaitu sistem Khilafah. Semoga tulisan ini memberi panduan kepada penuntut-penuntuk sekelian.

sumber : www.mykhilafah.com

0 comments: