Selama hampir 3 tahun yang lalu, saya bergelumang dengan kerja-kerja yang melibatkan transaksi jual beli perkakasan komputer, di samping membaiki perisian (software) di dalamnya sekali. 3 tahun, mungkin tidaklah terlalu lama bagi sesetengah orang, namun bagi saya ia sudah cukup untuk memberi impak yang besar di dalam kehidupan saya sebelumnya (sampai kini). Saya mengenal teman-teman yang boleh diajak bercanda, berbagi rasa dan sebagainya. Mereka sudah seperti keluarga saya sendiri. Dari pekerjaan itu pula, saya mengenal banyak teman baru yang berawal dari status sebagai customer (pelanggan). Misalnya banyak pelajar UM yang saya kenal adalah bermula dari transaksi jual beli komputer. Segala puji bagi Allah, semuanya memang telah diatur olehNya, agar kita menjadi hamba bersyukur terhadap nikmat yang diberikan olehNya.
Namun kini, persekitaran kerja saya sudah tidak sebegitu, kerana sekarang saya sudah bertukar profesi. Perkakasan komputer diganti dengan kitab-kitab. ‘Pelanggan’ saya adalah anak-anak sekolah dan bukan lagi orang yang hendak membeli komputer. Ya, begitulah profesi kerja saya kini iaitu menjadi seorang pendidik di sekolah agama. Melihat gelagat anak-anak belajar, menghafal dan mengulang kaji di sini, seakan mengimbau masa lalu saya ketika sedang belajar di pondok pesantren. Tidak kalah seperti masa lalu saya ketika di pondok pesantren, anak-anak di sini semuanya persis seperti di sekolah dulu. Anak-anak yang suka bermain, bertengkar, mengusik dan ada yang suka membuli rakannya sendiri. Warna-warni yang ada di sini bukanlah perkara baru bagi saya, kerana saya memang tumbuh dan dibesarkan di dalam suasana yang sebegitu. Namun, secara formalnya saya belum membiasakan sepenuhnya keadaan di sini.
Mereka Bukan Komputer
Bekerja dan memperlakukan komputer memang mudah. Kita mudah untuk melaksanakan segala sesuatu sesuai dengan apa yang kita ingini. Jika komputer kita agak perlahan, kita hanya perlu menambah RAM (random access memory) ke dalam komputer kita. Jika komputer kita terkena jangkitan virus atau spyware, cari saja software yang sesuai untuk membuangnya atau jika tidak boleh (kerana jangkitan virus sampai ke tahap yang maksimum), maka jalan terakhirnya adalah reinstall semula (reformat) komputer kita agar menjadi seperti yang asal. Semuanya mempunyai jalan keluar yang serba praktikal mengenai komputer. Saya sering melakukan TAE (try and error) ketika komputer saya ‘meragam’ (baca: ada masalah). Jika jalan ini tidak boleh, maka saya akan cuba jalan yang lain, sehinggalah permasalahan yang saya hadapi dapat diselesaikan dan saya dapat menggunakan komputer dengan selesa.
Namun, pelajar (saya lebih suka memanggil mereka anak-anak) bukanlah komputer yang seenaknya kita boleh mengubahsuai mengikut selera kita. Mereka itu manusia yang mempunyai sifat-sifat kemanusiaannya sebagai kanak-kanak pada umumnya. Nakal dan degil adalah sifat yang biasa menempel pada gelagat mereka. Alam kanak-kanak sememangnya unik. Mereka mengerti tapi melanggar saat diberi perintah, mereka tahu tapi tidak melaksanakan pekerjaan yang diberikan, mereka tunduk saat dimarahi tapi setelah kembali mereka melakukan hal yang sama. Oh, capek memikirkan mereka. Sungguh menjadi pendidik kepada anak-anak memang sesuatu yang sungguh mencabar. Kita harus menyelami jiwa mereka, serta menyentuh perasaan mereka agar mudah berkomunikasi sewaktu pembelajaran. Tapi, semua ini dapat dimengerti bahawa sesungguhnya anak-anak perlu dididik dengan bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa. Konklusinya, ini kerana mereka bukan komputer!
Pendidik & Mendidik
Pendidik adalah status bagi seseorang yang mendidik manusia lainnya, yang lebih khusus adalah seorang guru, ustaz dan pensyarah. Manakala mendidik adalah sifat bagi seseorang manusia yang berusaha untuk mengajar dan memperbaiki manusia lainnya, walaupun ia bukan seorang yang berstatus pendidik. Secara lumrahnya, pendidik hanyalah status yang dilekatkan kepada siapa yang profesinya di bidang pendidikan, manakala sifat dan perbuatan mendidik adalah kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang mukallaf dan sudah mengerti baik dan buruk menurut akal.
Tapi, disebabkan keterbatasan akal yang lemah sebagai makhluk, maka akal harus senantiasa disesuaikan menurut petunjuk wahyu yang tidak ada cacat celanya dari semua sudut. Seorang suami wajib mendidik isterinya, seorang ibu wajib mendidik anaknya, seorang abang wajib mendidik adiknya, seorang manusia wajib mendidik lingkungannya dan begitulah seterusnya. Apa yang lebih penting adalah, institusi negara haruslah memainkan peranan sebagai sebuah badan yang prihatin untuk mendidik rakyatnya supaya masyarakat yang dijaganya menjadi masyarakat yang islami. Masyarakat yang islami haruslah mempunyai peraturan islam, pemikiran islam serta perasaan islam. Jika ketiga-tiga ini tidak wujud, maka masyarakat yang ada belum boleh dikategorikan sebagai masyarakat islam.
Mendidiklah Semuanya
Oleh itu, mendidik bukanlah hanya dipikul oleh pendidik sahaja. Semuanya bisa mendidik. Hatta, seorang peniaga di tepi jalan bisa mendidik tatkala dia menasihati pemimpin yang melakukan kefasikan. Seorang adik (yang paling kecil) bisa mendidik tatkala ada penyimpangan yang dilakukan di dalam keluarganya. Seorang murid boleh mendidik ketika gurunya melakukan kesalahan dan begitulah seterusnya. Tahukah anda, bahawa satu ketika Sayidina Umar pernah menangis hanya kerana seorang budak (penjaga kambing) yang berkomentar kepadanya? Sayidina Umar berkata kepada budak itu, “bukankah lebih baik jika engkau ambil saja kambing tersebut, dan bilang saja kepada tuanmu bahawa kambing itu telah hilang atau dimakan binatang buas”. Lalu budak itu menjawab, “apa yang harus aku jawab kepada tuhanku?”. Sungguh, peristiwa ini membuat seisi jagat raya mengerti bahawa sesungguhnya tanggungjawab melakukan amar ma’ruf wa nahi munkar adalah hak semua, dan bukanlah dipikul oleh orang yang lebih tua umurnya, atau orang yang terhormat di antara kita. Namun, ia adalah kewajipan semuanya yang telah ditaklifkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya.
Akhir sekali, penulis berharap agar kita semua mempunyai sifat dan tanggungjawab untuk memperbaiki diri antara satu sama lain. Saling kejar-mengejar di dalam kebaikan, dan bukan sebaliknya. Kita berlindung kepada Allah SWT daripada sifat-sifat dengki dan iri hati dan saling menjatuhkan sesamanya agar kita menjadi hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh. Ameen...
2 comments:
Bekerja secara sambilan atau sepenuh masa? Ooh sudah tukar kerja. :)
so far, sepenuh masa
Catat Ulasan