Azzam – Kau ilhamku
Watak Azzam tidaklah seperti watak Fahri di dalam novel AAC yang agak suci dari kecenderungan dan kebiasaan manusia lainnya. Azzam adalah watak yang alami dan penuh dengan sifat-sifat kemanusiaannya. Tidak lepas dari kepelbagaian karektor manusia, watak Azzam hidup kerana kedinamikannya. Ini terbukti apabila ia boleh bersahaja bilamana ia beraktiviti dalam sehariannya ketika dalam hal jual beli, mengupah pekerjanya (membuat bakso). Dia boleh membuat humor, bilamana ia perlu. Ia boleh berpuisi, laksana jaguh puitis yang terkenal. Dia seorang motivator, yang telah berjaya memberi semangat dan dorongan kepada adiknya sehingga menjadi seorang novelis berjaya. Watak yang dilatarbelakangi oleh pendidikan agama terutama di Al-Azhar, Azzam juga seorang guru sekali gus Ustadz di Pesantren yang berjaya membuat hadirin pendengar terkesima oleh bekas Pelajar Al-Azhar ini. Dan jangan lupa, Azzam juga seorang businessman yang agak proffesional dan setiap langkah dan strateginya. Oleh itu, ambillah nila-nilai positif dari watak ini seperti kesungguhan, pengorbanan, kreativiti serta ketaatannya kepada orang tua sekali gus mencerminkan ketaatannya kepada agama.
Eliana – Pesona Cleopatra
Jika diteliti tentang para artis di luar sana, ada satu kesamaan d antara mereka yang membuat para pengamat aggree terhadap saya. Kesamaan itu ialah tentang kejelitaan paras rupa yang diletakkan terhadap zahir mereka. Entah, syarat utama bagi setiap watak utama haruskah memiliki wajah yang jelita sekali gus boleh menambat hati para penonton di luar sana. Inilah kriteria yang dimiliki oleh watak Iliyana, yang merupakan anak kepada Ketua kedutaan Indonesia di Mesir. Keanggunan dan watak yang penuh dengan aroma eksotik yang mengghairahkan ini membuatkan kita cuba mengimaginasikan zahirnya. Pernah cuba menggoda Azzam dengan pelawaan kissing, namun ditolak oleh Azzam dengan reaksi yang memeranjatkan watak ini sendiri. Siapa sih, yang tidak mahu kesempatan free yang diberikan oleh gadis rupawan? Ya, bagi mereka-mereka yang soleh pasti tidak tergoda insyaAllah. Akhirnya, watak Iliyana menjadi luhur dan kembali menongkah jalur islami sebagai seorang muslimah setelah kembali ke tanah air dan berjumpa semula dengan Azzam di tanah air.
Ayatul Husna – Pujangga Yang Memberi Inspirasi
Agak lama saya memikirkan untuk memberi gambaran sebenar tentang watak ini. Ini kerana, watak ini sangat menyentuh perasaan saya dengan sikapnya yang penuh romantis dan puitis. Rangkap syair yang dilantunkan olehnya pada malam itu, sudah cukup memberi imaginasi kepada kita bahawa Ayatul Husna adalah sosok Sang Pujangga yang penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan. Manusia yang bangkit setelah kalah dengan persekitaran dan akhirnya jatuh kepada situasi penyesalan. Namun, penyesalan bukanlah pengakhiran, kerana dengan penyesalan timbul keinsafan yang akhirnya merubah 360 darjah sahsiyah beliau. Ayatul Husna, kau watak yang tidak terlalu jelita. Namun, engkau sosok yang penuh inspirasi sekali gus wanita solehah yang taat kepada agama. Mungkin kah watak ini ada di sekitar kita? Para ikhwan, lekaslah mengkhitbahnya jika dia ada di sekitar anda, kerana dia bakal melakar istilah “Baiti Jannati” dalam rumah tangga kalian kelak. Jujur, saya terpanah setelah membaca puisi dari Ayatul Husna di bawah ini, dengarkanlah wahai teman:
Seperti bumi
Mencintai titah tuhanNya
Tak pernah lelah
Menanggung beban derita
Tak pernah lelah
Menghisap luka
Kau mencintaiku
Seperti matahari
Mencintai titah tuhanNya
Tak pernah lelah
Membagi cerah cahaya
Tak pernah lelah
Menghangatkan jiwa
Kau mencintaiku
Seperti air
Mencintai titah tuhanNya
Tak pernah lelah
Membersihkan lara
Tak pernah lelah
Menyejukkan dahaga
Kau mencintaiku
Seperti bunga
Mencintai titah tuhanNya
Tak pernah lelah
Menebar mekar aroma bahagia
Tak pernah lelah
Meneduhkan gelisah nyala
Ana Althafunnisa – Keayuanmu Mempesonakan
Ana Althafunnisa, seorang gadis yang fasih dalam berbahasa Arab, Inggeris dan German sekali gus anak kepada seorang kiyai di Jawa. Gadis yang pintar dan berinovasi dalam bertutur kata. Pernah menjadi moderator di forum besar yang membuat para ikhwan tersihir dengan kejelitaan dan kesopanannya. Tidak banyak yang boleh saya lakarkan untuk watak ini, kerana watak Ana di dalam novel adalah cukup sempurna sebagai seorang muslimah. Tentu tidak berlebihan jika saya mengatakan bahawa sosok Ana adalah kriteria yang didambakan oleh seluruh kaum adam. Apakah termasuk saya? Mmm.. mungkin juga. Tapi, susahnya untuk mencarinya ya. insyaAllah, lelaki soleh itu kan untuk wanita solehah, dan begitulah sebaliknya. Maka dari itu, ukur baju badan sendiri ya! Moga nanti, kita ditemukan dengan Sang Bidadari dalam keadaan kita redha kepadanya dan dia juga redha kepada kita untuk dijadikan sebagai Ummul Bait.
Furqan – Belajarlah Untuk Berhati-hati dan Tawadhu’
Watak Furqan adalah pelengkap kepada silsilah watak di dalam novel ini. Seorang jaguh akademik yang telah selesai kuliah S3 di Al-Azhar dan sahabat kepada Azzam di Mesir. Kronologi dan alur cerita yang dilalui oleh Furqan pada awalnya amat sempurna dan membuat penulis berasa cemburu. Namun, semua itu berakhir tatkala tragedi yang menghampakan hidupnya menghantui segala percaturannya dalam kehidupan. Kita semua tahu, yang pada akhirnya tragedi itu bukanlah seperti yang dikhuatirkan, kerana ia sebuah rekayasa dan penipuan. Disebabkan sikap yang tergesa-gesa membuat penilaian dan hilang pertimbangan, Furqan tidak mengambil langkah bijak yang selayaknya dilakukan oleh graduan Al-Azhar ini. namun, begitulah seorang manusia, kuat di satu bahagian, namun tidak bererti ia sempurna di bahagian lain.
Konklusi dan Pengamatan
Oleh kerana novel adalah karya seorang manusia. Watak-watak yang ada adalah rekayasa Sang Penulis. Kronologi cerita adalah hasil daripada imaginasi pengkarya. Justeru itu, kita sebagai pembaca haruslah mempunyai satu penilaian dan mengambil inti hikmah yang terkandung di dalam setiap plot cerita untuk dijadikan sebagai ilham dan iltizam kepada kita di dalam kehidupan. Kultur masyarakat, emosi, kesinambungan plot dan sinopsis adalah kreativiti yang dilakukan oleh Sang Penulis novel yang begitu kreatif, yang sebenarnya ingin membawa Sang Pembaca ke arah penjiwaannya sendiri. Moga resensi ini, tidak menambah atau mengurangi makna dan inti pati yang diinginkan oleh Kang Abik (penulis novel) dalam penjiwaannya dalam penulisan.
Wallahu’alam
0 comments:
Catat Ulasan