Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Sabtu, 20 September 2008

Jadilah “Mahasiswa Peduli Umat”

Mahasiswa peduli umat? Kedengaran aneh bunyinya kan? Kerana kebiasaannya yang peduli dan sibuk dalam masalah umat adalah golongan tertentu sahaja, seperti ahli politik dan aktivis NGO serta seumpamanya. Manakala mahasiswa adalah golongan yang tidak diidentikkan dalam permasalahan politik. Mahasiswa hanya sering dikaitkan sebagai golongan yang menuntut ilmu di IPT, guna untuk mendapatkan segulung ijazah yang akan digunakan apabila hendak bekerja kelak. Lalu, di manakah keterlibatan mahasiswa apabila berlaku sesuatu perkara di dalam dan luar kawasan yang tempati atau pelajari? Adakah mahasiswa hanya sekadar menjadi penonton atau simpatisan terhadap apa yang berlaku tersebut. Padahal, secara lumrahnya jika apa yang berlaku itu adalah terkait dengan ahli keluarga dan sanak saudara mereka sendiri, maka mereka akan secara langsung akan menunjukkan partisipasi mereka dalam hal tersebut. Lalu muncul persoalan, apakah status mukmin yang lain kepada mukmin lainnya, sehingga mahasiswa itu sendiri hanya berfikir mereka hanya perlu memikirkan ahli keluarga dan kerabat mereka sahaja tanpa memikirkan apa yang perlu diambil setelah sesuatu kejadian itu berlaku.

Atas dasar inilah, penulis berasa terpanggil untuk menulis artikel ini walau seringkas mungkin, agar kita (penulis juga mahasiswa) menjadi golongan mahasiswa yang sedar bahawa politik (yang mengambil tahu urusan umat) adalah kewajipan yang perlu dipikul oleh semua. Namun, bukanlah tulisan ini bermaksud bahawa yang dikatakan mahasiswa adalah mencakup keseluruhannya. Ini kerana, saya melihat ada segelintir mahasiswa yang sedar akan permasalahan mahasiswa ini, dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mengembalikan kesedaran politik di tengah-tengah komuniti mahasiswa dengan segudang cara. Tapi, saya hanya melihat mahasiswa dalam kelompok yang majoriti, di mana mahasiswa sering kabur dan tidak memahami bahawa sikap peduli umat adalah satu sikap yang perlu ada di dalam diri mereka.

Meluruskan Sikap Dan Makna Masyarakat

Sering kali mahasiswa dikelirukan oleh falsafah-falsafah keliru dan memutarbelitkan. Falsafah dan slogan yang di war-war kan adalah seperti; “Politik itu kotor”, “politik adalah untuk politikus”, “politik tidak sesuai untuk pelajar” dan seumpamanya. Akibat dari sikap pak turut dan hanya menjadi golongan pendengar sahaja, lalu menimbulkan stigma yang buruk terhadap fenomena kampus dan ipt ini. golongan yang saya katakan itu tadi, mula menunjukkan sikap tidak peduli umat dengan mengabaikan segala informasi yang datang di dada akhbar ataupun televisyen, dan hanya fokus terhadap pengkajian akademik semata. Rasulullah saw bersabda:

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan saling berempati bagaikan satu tubuh. jika salah satu anggotanya merasakan sakit maka seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan merasakan demam."(HR. Muslim)

Hadis di atas jelas memberi mafhum kepada kita tentang paradigma seorang muslim kepada muslim lainnya. Perumpamaan dalam hadis di atas dapat dilihat dalam diri kita sendiri, bahawa apabila kita berasa sakit gigi, maka seluruh tubuh kita akan turut merasai penderitaan tersebut. Begitulah mafhum di dalam hadis di atas, bahawa sesungguhnya orang mukmin itu adalah saudara dan tidak dipisahkan oleh ikatan-ikatan yang bersifat semu dan parsial (sementara) seperti ikatan ras, suku, patriotisme mahupun nasionalisme. Syeikh Taqiyuddin An-Nabahani ketika menjelaskan tentang kriteria maksud masyarakat, beliau menjelaskan bahawa sesuatu komuniti manusia yang ada perlu dibentuk dari 3 unsur iaitu pemikiran, perasaan dan sistem (yang mengatur mereka) yang sama. Maka dari itu, sekelompok manusia yang ada di dalam sebuah stadium bukanlah dikategorikan sebagai sebuah masyarakat kerana tidak terdapat keseluruhan unsur tadi. Cuma yang ada adalah perasaan dan pemikiran mereka terhadap team yang mereka sokong, tetapi mereka tidak diikat oleh satu peraturan yang sama. Setelah perlawanan tamat, maka bubarlah sekelompok manusia itu tadi, dan pemikiran dan perasaan tadi pula sudah tidak bererti apa-apa di dalam kehidupan.

Tanggungjawab Atau Pilihan?

Dari penjelasan yang singkat di atas, dapat kita ketahui bahawa sesungguhnya umat islam tidak akan lari dari keterikatannya dalam ikut serta memandang setiap aspek kejadian yang menimpa muslim lainnya (setelah kita yakini bahawa mereka itu adalah saudara kita juga). Jadi, perkara yang difikirkan adalah... adakah seorang ibu tega apabila anaknya di dicuri (misalnya) orang? Atau adakah seorang anak pula sanggup membiarkan orang tuanya dianiaya orang lain? Kita akan secara cepat akan menjawab bahawa... TIDAK! Ia tidak sepatutnya kita biarkan. Ya, begitulah hukum alam. Tetapi, islam mengajar lebih dari itu, hukum alam itu malah di garis bawahi oleh aturan dan sistem bagaimana seharusnya kita bertingkah laku. Ini kerana (kita meyakini) islam adalah sebuah ideologi (mabda’) yang dapat menyelesaikan segala permasalahan manusia. Firman Allah SWT:

“...Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu” (QS Al-Maidah[5]: 3)

Tidak ada ruang lacuna di dalam islam, yang mana tiada penjelasan di dalam sesuatu perkara. Sempurna dan menyelesaikan, itulah kata kunci kepada islam itu sendiri. Jadi, adakah kita masih memandang sikap peduli umat itu tidak perlu bagi kita (wahai mahasiswa!)! lalu, seruan itu menjadi pilihan bagi kalian untuk menjawab Ya atau Tidak! Padahal anda sudah meyakini bahawa sesungguhnya sikap dan peduli umat adalah yang lahir dan tumbuh dari akidah islam yang kita yakini kebenarannya.

Waallahu’alam

0 comments: