Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Rabu, 24 September 2008

Kadang Kita Tidak Sedar

Pembaca yang budiman, jujur saja bahawa saat ini saya kehabisan akal untuk menulis. Tapi, oleh sebab semangat dan ruang waktu masih tersisa, maka tidak akan saya sia-siakan dengan melakukan hal-hal yang lagho (melalaikan). Terus terang, menulis membuat hati saya tenteram dan pemikiran saya lebih terkedapan. Oh maaf, bukan bermaksud untuk berbangga diri atau angkat bakul, masuk sendiri. Eh salah, Cuma jenaka lho. Emang, kalau masuk bakul, boleh angkat sendiri ke? Pepatah yang unik, dan praktiknya juga boleh membidani dunia falsafah, hehe.

Mengenai penulisan saya kali ini, saya ingin mengajak diri saya serta pembaca yang budiman sekalian agar mengimbau masa lalu dan kini tentang interaksi kita di dalam keluarga. Ramadhan kali ini semakin membuat saya lebih sedar akan ertinya tawadhu’ dan erti merendah diri serta merasa diri sering kekurangan, malah sering berbuat kesalahan. Kalau kita menyedarinya, lalu kita berubah, maka alhamdulillah. Bagaimana jika sebaliknya? Kita melakukan kesalahan tersebut adalah kerana kejahilan dan ketidaksedaran kita sendiri. Mungkin ia menyangkut hal-hal yang remeh, namun saya menuangkan apa yang perlu saya tuangkan dalam penulisan kali ini, agar menjadi iktibar kepada teman-teman serta pembaca sekalian, moga kita senantiasa mendapat rahmat ilahi.

Mengimbau Masa Lalu

Perkara normal dan alami yang dilakukan oleh manusia adalah dengan mengimbau masa lalu. Sama ada orang tersebut adalah penulis, pelajar, karyawan, pekerja runcit dan selain yang disebutkan itu pasti pernah mengimbau masa lalu. Kalaupun tidak sering, paling tidak pernah lho. Cuba saja tanya pada diri anda (jujur tau). Tentu kita pernah mengimbau detik-detik yang pernah terjadi pada diri kita, baik pada saat manis atau pahit, baik pada saat romantis atau sadis, dan begitulah seterusnya.

Kali ini, saya ingin mengajak para pembaca budiman untuk mengimbau masa lalu tentang sekilas interaksi yang berlaku di antara kita dengan orang tua kita. Telah banyak yang mengupas dan membahaskan tentang tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai anak kepada orang tuanya. Jadi, saya tidak ingin mengulang semula sekian banyaknya penulisan yang sedia ada itu. Jika anda masih ingin mengetahuinya secara lebih detail, senang saja. Taip kata kunci di google, pasti akan keluar sekian banyaknya penulis yang telah membahaskannya. Tapi, saya menggunakan metode yang berbeza, iaitu hanya ingin mengoreksi sedikit berkenaan interaksi yang ada agar kita tidak menyangka ia adalah baik bagi kita, namun pada hakikatnya adalah sebaliknya di sisi syariat.

Pernahkah Terjadi?

Satu saat saya pulang ke rumah pada waktu petang, lalu saya masuk ke kamar tanpa melihat makhluk lain di rumah saya kecuali komputer dan alat peribadi di kamar saya. Lalu, ibu saya memanggil saya agar makan (kerana beliau sudah masak sesuatu khas untuk anak kesayangannya ini lho :-D). Namun, saya hanya menjawab ringkas dengan mengatakan bahawa saya sudah makan di luar. Bagi posisi kita yang serba fleksibel mungkin akan tidak merasa apa-apa. Namun percayalah, setelah saya mengimbau masa lalu itu, saya cukup kesal dan berlaku tidak adil kepada ibu saya. Saya tidak memberitahunya ketika ingin keluar bahawa saya akan makan di luar. Paling tidak, saya menelefon dan memberitahunya bahawa saya sudah makan di luar. Pernah Terjadi pada diri anda?

Malam itu, selepas waktu isyak’ dan usai mengerjakannya saya terus menonton televisyen. Ketika itu, ayah saya kelihatannya sedang bersiap untuk keluar menjemput ibu saya di tempat kerja. Oh, saya sedar ketika itu wajah pada diri ayah saya kelihatannya kelesuan, akibat kerja yang dilakukannya ketika waktu siang tadi. Ayah saya pekerja buruh dan kerja banting tulang untuk keluarga. Maka tidak hairanlah, jika wajah ayah kelihatan begitu. Namun, saya hanya terus menonton televisyen tanpa menyapa susuk tubuh ayahku. Tanpa bertanya akan keperitannya dan menawarkan diri untuk menjemput emak. Paling tidak, saya bertanyakan khabar dan menyapanya sepintas lalu. Oh ayah, saya faham bahawa engkau keletihan demi menyara keluarga kita. Andai waktu boleh berputar mengikut kehendak manusia, maka akan kuputar agar anakmu ini tidak hanya menonton, tapi akan menggalas tugasmu yang tidaklah seberat beban yang dikau galas semenjak saya dilahirkan. Pernah terjadi pada diri anda?

Sekilas Tentang Kewajipan Anak Kepada Orang Tua

Allah SWT berfirman:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya, ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun, bersyukurlah pada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Ku kembalimu.” (QS Luqman[31]: 14)

Menghormati kedua orang tua adalah kewajipan kita semua makhluk yang bergelar anak. Praktiknya telah ditunjukkan oleh baginda nabi bagaimana tatacaranya. Namun, pengetahuan yang berbasis teori tanpa penghayatan di dalam kehidupan tidaklah bermakna. Walaupun kita bergelas ustaz, guru atau orang yang disegani, semua itu hanyalah gelaran dan status yang diberikan manusia. Manakala, manusia tidak lepas dari salah dan silap sebagai makhluk yang serba lemah. Perkara yang remeh kita anggap remeh, namun pada hakikatnya ia perlu dicermati dan difikirkan bersama. Ini kerana, tanggungjawab anak kepada orang tua adalah sangat besar. Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang anak tidak dapat membalas ayahnya, kecuali anak tersebut mendapati ayahnya menjadi budak kemudian ia membelinya dan memerdekakannya.” (Riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Makna hadis tersebut adalah bahawa seorang anak tidak akan dapat membalas jasa ayahnya, kecuali jika ayahnya menjadi seorang hamba yang dimiliki oleh orang lain lalu si anak memerdekakannya, yakni membebaskan ayah dari perhambaan. Maka, barulah seorang anak dikatakan berjaya membalas jasa ayahnya. Memerdekakan hamba adalah pemberian yang paling utama yang diberikan oleh seseorang kepada orang yang lain.

Namun perlu dicatat bahawa hormat dan patuh kita pada mereka haruslah pada perkara-perkara selain maksiat kepada Allah SWT. Ini berdasarkan pada nas-nas yang melarang bagi kita untuk tunduk patuh pada makhluk dalam hal-hal yang maksiat. Oleh itu, penulis berharap, dengan penulisan yang serba sederhana dan penuh kekurangan ini, dapat memberi manfaat kepada pembaca dan tentunya kepada penulis sendiri untuk memperbaiki interaksi kita kepada manusia yang bergelar ayah dan ibu.

Wallahu’alam....

0 comments: