Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Sabtu, 25 Oktober 2008

Seputar Masalah Iktikaf

Soalan:

Ada pendapat yang mengatakan bahawa tempoh minimum bagi seseorang apabila hendak beriktikaf adalah selama sepuluh hari. Jadi, apakah ada nas yang memberikan penjelasan terhadap pendapat tersebut. Jika ada ikhtilaf dalam masalah ini, apakah pendapat jumhur ulama’ (khususnya mazhab yang empat) dalam masalah ini.

Jawapan:

Tidak ada dalil di dalam al-quran mahupun as-sunnah yang mewajibkan bahawa jangka masa untuk beriktikaf adalah selama 10 hari, baik di dalam bulan Ramadhan mahupun di bulan lainnya. Bahkan, beriktikaf selama satu malam sahaja (tanpa siang harinya) dibenarkan oleh syara’. Diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a :

“Bahawa Umar pernah bertanya kepada Nabi SAW, Umar berkata,’Aku pernah bernazar pada masa Jahiliyah untuk beriktikaf selama satu malam di Masjidil Haram.’ Nabi SAW bersabda,’Penuhilah nazarmu!” (HR Bukhari, hadis no 2032, juga diriwayatkan oleh Abu Daud, an-Nasa`i, dan Ad-Daruquthni). (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 298).

Hadis di atas menunjukkan bahawa beriktikaf pada waktu malam sahaja tanpa siangnya adalah dibolehkan. Jadi, tidak ada dalil yang mewajibkan bahawa iktikaf harus sepuluh hari, baik di bulan Ramadhan mahupun di bulan lainnya (selain bulan Ramadhan).

Namun begitu, amalan beriktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan adalah suatu ibadah yang afdal (lebih utama), dalam rangka untuk mencari Lailatul Qadar. (Asy-Syarbaini Al-Khathib, Al-Iqna’, 1/212; Zakariyya Al-Anshari, Fathul Wahhab, 1/125). Hal itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW selalu melakukan iktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a:

“Bahawasanya Nabi saw selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan sehingga beliau dipanggil (wafat) oleh Allah Azza wa Jalla, kemudian isteri-isteri beliau beriktikaf sesudah beliau (wafat).” (Muttafaq ‘alaihi) (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/174).

Hadis ‘A’isyah di atas dengan jelas menerangkan bahawa Rasulullah SAW selalu beriktikaf selama sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. Namun, tidak bererti bahawa iktikaf itu wajib dilakukan selama sepuluh hari, dan tidak sah jika kurang daripada jumlah tersebut (sepuluh hari). Ini kerana, hadis dari Ibnu Umar di atas telah menunjukkan bolehnya beriktikaf selama satu malam sahaja.

Maka dari itu, yang perlu diketahui adalah berapakah tempoh iktikaf paling singkat yang dibolehkan menurut syara’? Para ulama berbeza pendapat dalam masalah ini, yang yang dijelaskan sebagai sebagai berikut:

Pertama, Ulama mazhab Hanafi (Hanafiyah) berpendapat bahawa tempoh minima untuk beriktikaf adalah “tempoh yang singkat tanpa batas tertentu” (muddatun yasiratun ghairu mahdudatin), dan cukup sekadar “berdiam diri” (al-lubtsu) disertai niat. (Maraqi Al-Falah wa Nurul Idhah, hal. 119; dikutip oleh Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/695). Ada riwayat lain mengenai pendapat ulama mazhab Hanafi, yakni minima adalah satu hari (siang hari saja tanpa malamnya - yaumun). (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 299).

Kedua, Ulama mazhab Maliki (Malikiyah) berpendapat tempoh minima untuk beriktikaf adalah satu hari satu malam (yaumun wa lailatun). Pendapat yang terpilih (ikhtiyar) menurut ulama Malikiyah adalah; “iktikaf itu hendaknya tidak kurang dari sepuluh hari”. (Asy-Syarhul Kabir, 1/541; Asy-Syarhush Shaghir, 1/725; dikutip oleh Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/695).

Ketiga, Ulama mazhab Syafi’i (Syafi’iyah) berpendapat tempoh minima untuk beriktikaf adalah suatu kadar yang dapat disebut “berdiam diri” (ukuf/iqamah), iaitu lebih lama daripada waktu tumakninah dalam ruku’ dan yang semisalnya (fauqa zaman at-tuma`niinah fi ar-rukuu’ wa nahwihi), dan tidak cukup disebut iktikaf jika temphnya sama seperti tumakninah. (Lihat Taqiyuddin Al-Husaini, Kifayatul Akhyar, 1/215; Syarbaini Al-Khathib, Al-Iqna’, 1/213; As-Sayyid Al-Bakri, I’anah Ath-Thalibin, 2/259; Zakariyya Al-Anshari, Fathul Wahhab, 1/125).

Keempat, Ulama mazhab Hanbali (Hanabilah) berpendapat tempo iktikaf tempoh minima untuk beriktikaf adalah “sesaat” (saa’atun), iaitu suatu kadar yang dapat disebut “berdiam diri” (mu’takifan laabitsan) walaupan hanya sebentar (lahzhatan). (Kasysyaf Al-Qana’, 2/404; dikutip oleh Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/695).

Berdasarkan keempat-empat pendapat di atas, pendapat jumhur (Hanafiyah, Syafi’iyah, dan Hanabilah) menyatakan bahawa tempoh minima untuk beriktikaf adalah “waktu yang singkat” (muddatun yasiiratun). Manakala pendapat ulama mazhab Maliki berpendapat minimum untuk beriktikaf adalah satu hari satu malam (yaumun wa lailatun). (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/695; Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 299-300; Muhammad bin Abdurrahman Ad-Dimasyqi, Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf al-A`immah, hal. 71).

Jadi, menurut kaedah tarjih, pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah pendapat jumhur. Hal ini disebabkan dalil-dalil tentang iktikaf dalam Al-Qur`an dan As-Sunnah adalah dalil-dalil yang bersifat mutlak, yakni mutlak dari segi tidak menyebut batas tempoh yang minima untuk iktikaf. Dengan kata lain, tidak terdapat dalil yang membatasi (men-taqyid) bahawa tempoh minima iktikaf adalah satu hari satu malam (sebagaimana mazhab Maliki). (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 298).

Kaidah ushul dalam masalah ini menyatakan :

Al-Mutlaqu yajriy ‘ala ithlaaqihi maa lam yadulla ‘alaa at-taqyiid

“Dalil yang mutlak tetap dalam kemutlakannya selama tidak terdapat dalil yang menunjukkan adanya taqyid (pemberian batasan atau sifat tambahan).” (Wahbah Az-Zuhaili, Ushul Al-Fiqh Al-Islami, 1/208; Imam Asy-Syaukani, Irsyadul Fuhul, hal. 164).

Maka dari itu, berdasarkan pendapat jumhur, adalah sah hukumnya beriktikaf selama waktu yang singkat yang dapat disebut sebagai “berdiam diri” (al-lubstu), walau hanya sebentar sahaja. Dalam mazhab Syafi’i bahkan diberi keterangan bahawa sah beriktikaf walaupun lamanya hanya sedikit lebih lama daripada waktu untuk tumakninah (misalnya 20 hingga 30 saat saja).

Namun demikian, kami menganjurkan agar dalam beribadah agar senantiasa berusaha bukan hanya melaksanakannya pada batas minima, tetapi disarankan agar lebih dari itu. Walaupun batas minimat tersebut adalah sah menurut hukum syara’. Kaedah fiqih menyatakan :

Maa kaana aktsaro fi’lan kaana aktsaro fadhlan

“Suatu aktiviti yang lebih banyak perbuatannya, lebih banyak pahalanya.” (Lihat Imam As-Suyuthi, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, Maktabah Syamilah, 1/257).

Berdasarkan kaedah ini, memisahkan solat witir yang tiga rakaat (yakni dua rakaat salam, ditambah satu rakaat salam), lebih utama daripada menggabungkannya (tiga rakaat sekali salam), ia disebabkan lebih banyak niat, takbir, dan salamnya. Misalan lain seperti solat sunnah dengan berdiri lebih utama daripada solat secara duduk, solat dengan duduk lebih utama daripada solat dengan berbaring. Demikian pula, iktikaf selama satu hari lebih utama daripada iktikaf dalam satu jam sahaja, dan iktikaf sepuluh hari lebih utama daripada satu hari, dan begitulah seterusnya.

Kesimpulannya, tidak ada dalil yang mewajibkan bahawa iktikaf itu harus dilakukan selama sepuluh hari. Iktikaf sah dilakukan walau hanya sebentar sahaja, sesuai pendapat jumhur yang lebih kuat (rajih). Namun syara’ lebih menyukai agar kita melakukan ibadah dengan perbuatan yang lebih banyak. Maka iktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan adalah afdhol (lebih utama), dalam rangka untuk mencari Lailatul Qadar. Wallahu a’lam.

Sumber : http://konsultasi.wordpress.com/

0 comments: