Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Khamis, 5 Februari 2009

Fenomena Khutbah Yang Membosankan


Perkara ini sudah terlintas di dalam benak fikiran saya, saat saya sudah mula rapat dengan masjid ketika kecil dahulu. Oleh sebab masjid agak jauh (dalam 1 KM) dari kawasan rumah saya, jadi ayah saya hanya membawa saya ke masjid ketika datangnya waktu solat Jumaat sahaja. Bukan apa, mereka risau, untuk saya melintas jalan seorang diri jika hendak ke masjid (sayang anak la kan).

Saat itu, pemikiran saya belumlah matang untuk berfikir. Namun, apa yang terfikir bagaikan lintas bayang yang terekam di celah-celah memori saya. perkara itu, masih berlarutan dan membuat saya berfikir, apakah di sebalik semua ini? fenomena ini berlanjutan hampir di kebanyakan masjid-masjid yang pernah saya kunjungi untuk solat Jumaat. Ia berkenaan fenomena khutbah yang saban hari, semakin membosankan, malah tidak mengghairahkan. Bukankah khutbah itu, sepatutnya suatu yang dinanti-nantikan oleh umat islam? Untuk memuhasabah diri pendengar dan khatib yang berbicara? Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Majoriti pendengar, malah memilih untuk tidur dibandingkan mendengar khutbah yang berjela-jela (yang entah ke mana) dan membosankan tersebut.

Kembalikan Ruh Khutbah

(judul ini, saya pinjam dari Salim A. Fillah di dalam bukunya yang berjudul “Saksikan, Bahwa Aku Seorang Muslim)

Saya sering terkilan dan sedih bilamana khutbah menjadi tempat ‘pengajian’. Benar-benar sedih. Rukun Solat Jumaat ini kemudian menjadi sajian nikmat pengantar tidur. Bahkan, jika seseorang mendapat insomnia, pada saat itu ia telah mendapat ubat yang sangat mujarab (untuk tidur). Tulisan ini bukan ingin membahaskan boleh atau tidaknya tidur, tapi sekadar ingin mengungkap tentang fungsi sebenar sebuah khutbah sebagai pengingat rutin ketakwaan. Manusia sememangnya makhluk yang sering lena dan alpa (An-Nisyaan), maka khutbah jumaat adalah mekanisme yang digariskan oleh Allah SWT untuk menjadi pengingat tetap dan rutin. Jujur saja, kadang yang salah bukan pendengarnya. Tapi, ia lebih kepada Sang Khatib di atas mimbar. Apa sebenarnya yang tidak kena dengan khutbah-khutbah yang ‘bermasalah’ini?

Banyak yang ingin saya ungkap dalam penulisan kali ini. Tapi, saya khuatir, bukan anda (sang pembaca) membacanya nanti, malah anda pula yang tidur (haha). Majoriti khutbah di Malaysia adalah berdasarkan teks yang dibuat oleh jabatan agama negeri masing-masing. Sang khatib pula, tinggal hanya membacanya, persis seperti anak sekolah yang sedang membaca cerita. Para jemaah dipaksa untuk mengikuti pola fikir sang penulis dan sang khatib lewat analisis, kajian, fakta dan kesimpulan-kesimpulan yang berjela-jela. Saya berani berandai, bahawa sesungguhnya para jemaah tidak memerlukan semua itu. Sebab itu, mereka lebih memilih tidur daripada mendengarkan khutbah. Apatah lagi, jika sang khatib tidak pandai ber-antonasi dengan baik, justeru jemaah akan berkata, “Ah, ganggu je, aku nak tidur!”

Wahai ‘pengkhutbah’ (ada ke istilah ni?), saya bukanlah seperti kalian, dan saya tidak pernah berkhutbah dalam solat Jumaat. Mungkin kalian berhak berkata, “cakap lebih, berkhutbah pun belum!”. Kalian benar, saya memang tidak pernah berkhutbah dalam solat Jumaat. Namun, saya seorang pendengar dan pemberi saran yang baik.

Secara peribadi, saya melihat permasalahan ini terlihat dari 3 aspek yang perlu diperhatikan oleh sang khatib ketika berkhutbah:

1) Materi (isi) yang disampaikan
2) Cara penyampaian
3) Jangka waktu penyampaian

Pertama, sesungguhnya khutbah Jumaat menjalankan fungsi-fungsi khusus yang tidak ada di dalam forum-forum lain. Bahkan, rukun khutbah mencantumkan wasiat takwa sebagai hal yang perlu ada. Membahaskan suatu fenomena, mungkin suatu yang perlu sebagai bahagian dari fungsi penerangan kepada umat. Tapi perlu dicatat, mesti tetap terkait dengan takwa. Pembahasan yang berjela-jela dan meleret-leret yang entah ke mana, hanya akan membuat orang bosan dan akhirnya memilih tidur sebagai jalan penyelesaian.

Tidak dinafikan bahawa seorang khatib adalah orang yang terpilih dan memiliki ilmu untuk menyampaikan. Namun sayang, jika saat berkhutbah sang khatib berusaha untuk menyalurkan semua ilmu kefahamannya kepada para jemaah lewat berbagai-bagai kutipan dan analisis yang berjela-jela (hope tak merepek lah). Rasulullah saw memberi tuntunan kita agar berkhutbah dengan sederhana, yang penting bersangkutan dan berhujung takwa. Itu saja. Khutbah bukanlah kajian, pengajian atau majlis ta’lim. Bukan, jauh sekali! Apa yang lebih sedih apabila khutbah dijadikan medium untuk melakukan ghibah politik, ghibah sosial apatah lagi ghiba individual.

Aisyah r.a meriwayatkan:

"Rasulullah SAW tidak tergesa-gesa menyambung pembicaraan dengan pembicaraan lain seperti tergesa-gesanya kalian. Akan tetapi beliau berbicara dengan perkataan yang jelas, yang mudah ditangkap dan diingat oleh orang yang duduk bersama beliau".

Kedua, saya yakin, tidak akan ada jemaah yang sempat tertidur jika khutbah yang diberikan sesuai seperti Rasulullah saw. Mengapa? Suasana khutbah yang seharusnya adalah suasana perang. Menggetarkan jiwa dan menyentuh perasaan. Penuh dengan ancaman dengan pengobaran semangat penuh komando, kerana ia menyangkut hidup dan mati. Bahkan lebih dahsyat, soal seksa atau nikmat akhirat! Masih kah ada tatkala itu jemaah yang mampu tertidur? Ya mungkin saja ada, kalau jemaah itu belum tidur satu hari, satu malam sebelumnya (haha). Ini kerana, tidak ada satu jemaah pun (termasuk sang khatib) yang boleh merasa aman dari azab Allah SWT. Tidak ada sama sekali. Semua ini adalah bermula dari tanggungjawab sang khatib untuk menumbuhkan nuansa sebegini.

Diriwayatkan dari Jabir RA, bahwa jika Rasulullah berkhutbah, kedua matanya memerah, suaranya tinggi, dan kemarahannya sungguh-sungguh. Beliau bagaikan komandan pasukan perang yang sedang berkata, “Musuh menyerang kalian pada pagi hari!” dan “Musuh datang pada waktu petang!!!” (HR. Muslim dan Ibnu Majah)

Ketiga, jangka waktu penyampaian. Rasulullah itu memendekkan khutbah dan memperpanjang solat. Kita?

“Termasuk tanda seseorang yang pemahamannya mendalam adalah, khutbahnya singkat, solatnya panjang”. (HR. Muslim [2/594)

Persoalannya, panjang itu seharusnya yang bagaimana? Cuba saja baca surah Qaaf, kerana ia sering dibaca oleh Rasulullah saw pada solat Jumaat, sehinggakan banyak sahabat yang hadir boleh menghafalnya. Atau, boleh juga membaca surah Al-A’la ditambah dengan Al-Ghasiyah. Singkat sekali kan? Ini bererti khutbah Rasulullah lebih pendek dari itu. Sepuluh atau lima belas minit juga sudah termasuk dalam kategori lama.

Mengapa begitu? Ya, memang begitu! Lebih baik singkat, padat, jelas, tepat dan mengena isinya daripada berjela-jela. Walhasil, para jemaah pula yang sedang khusyu’ ‘berzikir’. Dari sudut psikologi pula, saya yakin bahawa para jemaah saat itu adalah orang yang ingin segera solat.

Maka dari itu, secara peribadi, saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT agar situasi dan kondisi khutbah Jumaat dapat dirubah dari suasana yang malap dan sayup, menjadi suasana yang penuh dengan nuansa takwa dan pengobaran semangat, yang mana orang ngantuk memilih untuk tidak tidur, orang layu menjadi semangat, orang kecewa dipenuhi dengan redha, dan semua itu akan membawa umat ke arah masyarakat yang makin menghayati khutbah Jumaat itu. Walhasil, orang yang pulang dari solat Jumaat menampakkan kebugaran wajah yang penuh dengan makna hakiki orang-orang beriman, dan bukan pulang, langsung tidur (sebab, tadi sang khatib dok kacau, susah tidur agaknye).

Imam An-Nawawi berkata dalam Syarah Sahih Muslimnya, “Hal ini menunjukkan bahawa disunnahkan bagi khatib untuk;

1) memantapkan urusan khutbah (dari segala sudut isi yang ingin disampaikan)

2) meninggikan suaranya

3) membesarkan perkataannya (jelas perkataannya)

4) hendaknya pembicaraannya sesuai dengan bahagian yang dibicarakannya dari penekanan dan ancaman (perhatikan antonasinya)

5) dan kemarahannya terlihat sungguh-sungguh, kerana waktu itu ia memperingatkan urusan yang sangat besar dan mengancam dengan seruan yang sangat penting.

Wallahu’alam...

0 comments: