Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Rabu, 11 Februari 2009

Benarkah Segala–galanya Pada Akhlak?


Seringkali kita mendengar komentar-komentar tokoh cendekiawan Islam seperti, "Kehancuran bangsa ini kerana kerosakan akhlak pemimpinnya " atau "Anak bangsa hari ini sudah tidak bermoral!" atau "Kita bangunkan akhlak, maka bangsa kita akan dipandang rendah ini akan bangkit!!" dan sebagainya. Dalil-dalil yang selalu digunakan bagi menyokong kenyataan diatas seperti:

”Sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar memiliki akhlak yang agung” (QS Al-Qalam :4).

”Aku ini diutus untuk menyempurnakan akhlak” (HR Al-Bazaar).

Untuk memahami maksud ayat empat di atas boleh diperhatikan pada hadis di bawah:

“Seorang sahabat pernah bertanya kepada Aisyah tentang akhlak Rasulullah, Aisyah menjawab, Akhlak baginda adalah Al-Quran".

Erti akhlak Rasulullah saw adalah Al-Quran bahawa sesungguhnya Rasulullah telah menjadikan perintah dan larangan Al-Quran sebagai akhlak dan wataknya. Setiap Al-Quran Memerintahkan sesuatu maka baginda mengamalkannya. Setiap Al-Quran melarang sesuatu maka baginda meninggalkannya. (tafsir Ibnu Katsir)


Ertinya, Rasulullah menjadikan tolak ukur halal dan haram dalam setiap pergerakannya. Walhasil, pernyataan bahawa akhlak merupakan teras permasalahan umat ini adalah tidak tepat, menyelesaikan semua masalah umat dengan akhlak juga adalah tidak tepat. Pemahaman seperti ini hanya akan mengakibatkan dua perkara. Pertama menjauhkan pemahaman umat terhadap Islam sebagai sebuah sistem kehidupan. Kedua mengaburkan pemahaman umat tentang nilai ruhiyah daripada akhlak.

Menjauhkan pemahaman umat terhadap Islam sebagai sebuah sistem kehidupan

Jika kita mengkaji dengan lebih teliti, nescaya kita akan mengetahui bahawa Islam mengatur kehidupan manusia dalam tiga hal iaitu hubungan manusia dengan Allah (akidah dan ibadah), hubungan manusia sesama manusia (sistem hukuman dan muamalah (perindustrian, pendidikan, sosial)), hubungan manusia dengan dirinya sendiri (makanan, pakaian dan akhlak).

Memfokuskan pemahaman hanya pada akhlak akan mengakibatkan kefahaman umat menjadi sempit dan berlegar-legar pada akhlak sahaja. Sehingga timbul pandangan masyarakat dengan memperbaiki akhlak, maka semua permasalahan akan selesai atau dengan menyempurnakan akhlak, maka telah sempurna keislamannya. Tanggapan sebegini hanya menyempitkan ruang lingkup ajaran Islam kerana pengaturan masalah ekonomi, sosial, makanan, pakaian, aqidah, ibadah, jihad, dakwah dan lain-lain merupakan pembahasan diluar pembahasan akhlak.

Selain itu, jika semua masalah diselesaikan dengan memperbaiki akhlak, umpama seseorang membina rumah dengan berbekalkan sepotong gergaji. Memotong kayu dengan gergaji, memahat dengan gergaji, menyimen bata dengan gergaji, memasang jubin dengan gergaji, mengukur dengan gergaji dan segalanya menggunakan gergaji. Tentu mustahil memasang setiap bahagian dengan satu alat sahaja, kerana masing-masing harus dipasang dengan alat yang khusus. Oleh itu, bagaimana masalah ekonomi atau industri contohnya diselesaikan dengan akhlak?

Mengaburkan pemahaman umat tentang nilai ruhiyah daripada akhlak

Selalu juga kita mendengar pengolahan maksud akhlak dengan kata-kata:, "Jika seorang peniaga bersikap jujur, murah senyuman, maka dia akan memperoleh keuntungan. Kerana pembeli menjadi suka hati dan akan kerap datang berurusan dengannya" atau "Jika seorang doktor murah senyuman dan ramah, maka doktor tersebut akan mempunyai ramai pesakit dan para pesakit akan menceritakan lagi kepada pesakit yang lain".

Penjelasan seperti di atas tidak salah, tetapi mengaburkan pemahaman umat tentang nilai ruhiyah sebuah amal perbuatan. Seseorang yang melakukan perbuatan kerana mencari keredhaan Allah, dia bersikap jujur kerana perintah Allah, dia tidak berbohong kerana larangan Allah, dia murah senyuman kerana sunnah Rasul senyuman itu sedekah, maka di sinilah letaknya nilai ruhiyah dan dia memperoleh pahala kerananya. Tetapi jika dia berakhlak baik, agar pesakitnya lebih ramai, untung dalam berniaga, untuk pujian orang dan sebagainya, dia hanya memperoleh nilai keuntungan duniawi semata-mata, dan tidak memperoleh pahala daripada Allah.

Akhlak bukanlah segala-galanya


Sesungguhnya, kerosakan pada umat ini bukanlah disebabkan oleh akhlak sahaja, tetapi jauhnya umat dari Islam. Dalam akidah, muamalah, ibadah, akhlak, uqubat, makanan dan pakaian tidak lagi berlandas-kan pertimbangan Islam. Berekonomi menghalalkan riba, berpakaian tetapi telanjang, bersistemkan kapitalis, berpolitik machievalis, berakhlak jahiliyah, berhukum peninggalan British, Belanda dan sebagainya, sehingga pada nama mereka memang Islam tetapi segala keadaannya seperti orang bukan Islam. Padahal Islam adalah agama yang khas dan akan memancar pada peribadi seorang muslim dan muslimah.

Kebangkitan umat tidak ditentukan oleh akhlak, tetapi tergantung pada sejauh mana pemikirannya tentang Islam. Jika setiap gerak langkah seseorang dipandu oleh kepimpinan pemikiran yang Islami, maka umat ini akan bangkit. Jika tolok ukur mereka adalah aturan yang telah dimuliakan oleh Allah s.w.t iaitu Islam, dan semua perkara mengarah kepada aturan tersebut, maka waktu itulah terjadinya kebangkitan umat.

Seseorang itu bersikap jujur, sabar, tidak berbohong, murah senyuman, menolong jiran, dan lain-lain kerana diperintahkan Allah dan ditunjukkan oleh rasul-Nya. Begitulah pemahaman yang harus diberikan kepada umat. Bukan akhlak yang bersifat universal dan bernilai material, kerana boleh jadi orang kafir juga mempunyai akhlak yang baik, mereka jujur, senyum, tidak berbohong, tetapi kerana landasan akidahnya rosak maka mereka tidak boleh dikatakan sebagai individu yang soleh walaupun berakhlak baik.

Wallahu'alam...

0 comments: