Renungan

Menakjubkan sungguh urusan orang yang beriman. Segala perkaranya adalah kebaikan, dan itu tidak terjadi kecuali pada orang beriman. Jika mendapat nikmat, ia bersyukur, dan syukur itu baik baginya. Jika ditimpa musibah dia bersabar, dan sabar itu baik baginya (HR. Abu Dawud & At-Tirmidzi)

Khamis, 12 Februari 2009

‘Pening’ Seorang Sahabat


Seperti kebiasaannya, hari ini saya ditemani oleh seorang sahabat berbincang-bincang (secara online), diskusi, ‘debat’, dan berkongsi segala hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman harian dan dakwah (sahabat saya tu pun, tengah membaca artikel ni sekarang, haha). Ada hal yang memprihatinkan dia, sehingga perlu diluahkan kepada saya berkenaannya. Hari ini (11/2/2009), dia mendapatkan pengalaman yang ‘membengangkan’ dan sekali gus mempengaruhi emosinya (dia demam hari ni). Semuanya berkisar tentang pengalamannya semasa bertugas di hospital. Apa yang berlaku, memang di luar dugaan (tidak pada saya, haha). 2 orang adik-beradik berzina (patient-nya), dengan alasan yang tidak masuk akal. Ayah mereka yang mengajar katanya, untuk menunjukkan kasih sayang (bangsat betul si ayah ni!). Si Ibu tidak dapat menerima kenyataan, dan akhirnya masuk rumah sakit jiwa. Si bangsat plak (hah, kan dah emosi), masuk lokap. 2 beradik tu pula dimasukkan ke dalam wad psikiatri untuk ‘dibrain wash’ semula paradigma iblis yang ada di dalam pemikiran mereka.

Bukan setakat itu, ada kes yang lebih parah (semua parah sebenarnya) dari itu. Seorang wanita muslim berumur 14 tahun mengandung anak luar nikah. Orang tua kepada lelaki, menawarkan wang yang lumayan (teka sendiri berapa) kepada orang tua wanita, agar anaknya menggugurkan kandungan. Tapi ditolak oleh pihak wanita, kerana menuntut lebih dari itu (wow, jual manusia lebih untung dari jual unta!). Akhirnya, kes ini lebih rumit, apabila ia dijadikan kes sebagai ugutan oleh pihak lelaki. Patutlah pening betul sahabat saya ni.

Saya Yang Tidak ‘Pening’

Sahabatku, tahukah anda bahawasanya hari ini ada ‘sesuatu’ yang berlaku ketika saya mengajar di sekolah. Anak-anak murid saya semuanya kelihatan comel-comel belaka, ditambah dengan sifat lucu mereka. Memang penambat hati seorang lelaki bujang (yang berhasrat untuk menikah, haha). Tidak dinafikan, memang ada kalanya mereka nakal, dan menguji kesabaran saya sebagai manusia biasa. Tapi, itu perkara biasa. Hari ini, seorang anak murid saya, bertanya kepada saya sesuatu yang tidak saya jangkakan:

“Ustaz, sembahyang tu wajib kan?”,

“Ye lah sayang (panggilan manja untuk diorang ni), memanglah wajib”.

“Tapi, ayah saya tak sembahyang kalau kat rumah. ayah cuma sembahyang, masa sembahyang Jumaat je.” (bahasa kanak-kanak memang macam ni)

Lalu, saya rapatkan dia pada saya, dan cium dahinya, kerana terharu dan bangga dengan secebis pemikiran yang ada pada dirinya. Saya katakan padanya:

“Fatihah, mungkin ayah sembahyang di dalam bilik. Tapi, Fatihah tak nampak. Atau, ayah sembahyang di tempat kerja. Macam mana Fatihah tahu ayah tak sembahyang pulak.”

“Taklah ustaz, kalau Fatihah bangun pagi-pagi, ayah tak bangun lagi. Ayah masih tidur, tak sembahyang. Tapi, emak sembahyang.”

Bidadari ataukah manusia, anak kecil di hadapan saya ini? Wajahnya yang lugu, kilauan matanya yang jernih, lebih jernih dari embun di pagi hari. Wajahnya yang sayu dan bersungguh-sungguh, menambahkan kekaguman saya padanya. Ya Allah, anugerahkan hambamu ini seorang anak, yang boleh menegur saya kelak, tatkala saya melakukan penyimpangan dari jalanMu yang lurus.

“Fatihah... Fatihah anak yang baik. Nanti balik, Fatihah kena cakap dengan ayah baik-baik tau. Jangan cakap yang tak elok, sebab berdosa nanti. Fatihah cakap macam ni, - Ayah, ustaz di sekolah Fatihah cakap, sembahyang tu wajib untuk semua orang islam, dan kalau tak buat berdosa.” Cakap macam tu ye sayang?

“Baik ustaz.”

Sebuah Penalaran

Guys dan sahabatku, situasi di atas masih dalam kategori normal bagi saya (dalam sistem sekarang ni). Orang tua menyekolahkan anak ke sekolah agama, agar anaknya dididik dengan didikan agama. Pada waktu yang sama, mereka pula yang tidak memahami agama dengan sebaiknya. Bukankah salah tanda kerosakan adalah ketika solat mula ditinggalkan oleh penganutnya. Lalu, di mana lagi hendak diletakkan kemuliaan, ketika penganutnya sendiri tidak melaksanakan aturan agama!

Benarlah apa yang dikau katakan padaku wahai sahabatku. Ketika berlaku kes zina (merujuk kes di atas), apa yang disibukkan bukanlah soal hukum agama, melainkan soal manfaat lainnya. Itu perkara biasa, janganlah dikau pening kerananya. Tetaplah menjalankan tugasmu sebagai pengemban dakwah, dan mencermati segala apa yang berlaku di sekelilingmu.

“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sungguh, dia akan menjalani kehidupan yang sempit, dan Kami akan mengumpulkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: "Ya Tuhanku, mengapa Engkau kumpulkan aku dalam keadaan buta, padahal dulu aku dapat melihat?". Dia (Allah) berfirman: "Demikianlah, dahulu telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, dan kamu mengabaikannya, jadi begitu (pula) pada hari ini kamu diabaikan". (QS Thaha[20]: 124-126)

Begitulah ungkapan Tuhan kepada kita. Apa yang berlaku di depan mata kita adalah dikeranakan umat manusia kini sudah banyak yang berpaling dari ajaranNya. Saya teringat kata-kata seorang sahabat saya satu ketika dulu. Dia berkata begini, “Dahulu, budaya couple ni, dianggap tabu. Lalu dibiarkan, dan akhirnya menjadi biasa. Zina pula, dahulu dianggap tabu, dan sekarang hampir menuju status biasa.” Sahabatku, anda BENAR!

Tidak dinafikan, segala permasalahan yang menimpa umat manusia (termasuk non-muslim), adalah disebabkan tidak diterapkannya sistem yang benar. Saya jadi teringat soalan seorang penanya di dalam satu ruangan diskusi. Dia bertanya begini, “Apakah standard yang hendak digunakan oleh kita untuk menentukan sesuatu yang benar?”. Lalu, dijawab dengan tenang oleh sahabat saya, “Ya, standardnya mestilah yang benar dari yang Maha Benar.”

Benar dari Yang Maha Benar. Kalimat itu terngiang-ngiang di kepala saya. Aturan siapa lagi, kalau bukan aturan dari Allah SWT yang dimaksudkan oleh sahabat saya itu. Kecelakaan, kebinasaan dan kehinaan yang menimpa umat islam saat ini, adalah kerana tidak diterapkannya aturan Allah SWT di muka bumi secara menyeluruh (kaffah). Tidak dapat dipungkiri, bahawasanya seluruh dunia kini, telah didominasi oleh sistem kufur ciptaan akal-akal manusia. Yang baik bagi akal mereka, diambil. Yang buruk bagi nafsu mereka, ditolak serta-merta.

Setiap kejadian ada sebab akibatnya (sababiyah). Ia tidak terjadi secara magik dan di luar fitrah, kecuali mukjizat agung dari Ilahi (itu tidak dapat dipertikaikan). Justeru dari itu, setelah kita ketahui, bahawasanya keburukan yang menimpa umat manusia saat ini adalah kerana tidak diterapkannya sistem islam secara kaffah. Maka dari itu, kita harus berusaha (secara kolektif) untuk berjuang menegakkan kembali sistem islam yang telah ditinggalkan oleh umat islam sejak diruntuhkannya oleh Mustafa Kamal At-Tartuk La’natullah Alaih. Kebaikan, kesejahteraan dan kemuliaan akan menimpa umat yang terbaik ini setelah mereka melakukan tugas-tugasnya menyeru umat manusia untuk kembali menjadikan islam sebagai satu-satunya rujukan dalam segala aspek.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (QS Al-Imran[3]: 110)

Wallahu’alam...

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

"The knots of Islam will be broken one by one until everyone of them undone. The first to be undone will be the knot of RULING and the last will be the knot of SOLAH (Musnad of Imam Ahmad)

It's really happened now..

InsyaALLAH, sahabat anda tidak akan pening lagi